Susulan sebuah video yang tular di media sosial memaparkan seorang lelaki yang menumbuk hingga pecah cermin sisi kereta dipandu seorang wanita sebelum membaling ke arah kereta wanita itu mengundang padah.
BACA : Rempuh Mangsa Hingga Maut, Suspek & Isteri Direman 7 Hari
Lelaki yang berlagak samseng itu ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras jam 3.30 petang, Isnin selepas mangsa yang berusia 20 tahun membuat laporan polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mokhsein Mohamed, kejadian yang berlaku di bulatan Cheras, Sabtu lalu sekitar jam 2.30 petang itu, suspek dan mangsa yang masing-masing memandu sebuah kereta terbabit dalam satu kemalangan.
Kemalangan berlaku apabila suspek menghentikan kereta secara mengejut ketika menghampiri bulatan Cheras menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan terus melanggar bahagian belakang kereta suspek.
Berang kerana keretanya dilanggar, suspek terus turun dari kereta dan dan mengeluarkan kata-kata kesat sebelum menumbuk cermin sisi kereta mangsa hingga patah dan kemudian membalingnya ke arah kereta mangsa.
Mokhsein Mohamed mendakwa mangsa sempat merakam tindakan ganas suspek menggunakan telefon bimbit sebelum meneruskan perjalanan kerana bimbangkan keselamatannya dan membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besi pada jam 4.33 petang hari kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Cheras bagi proses permohonan reman semalam.
Leave a Reply