Video yang viral di laman Facebook semalam di mana seorang lelaki berusia 59 tahun dibuli oleh sekumpulan remaja lelaki di Batu 7, Kampung Sijangkang, Banting sudah berakhir dengan kemaafan.
Mohd Mudakir Abdul Wahid yang menjadi mangsa buli itu memberitahu dia sudah memaafkan mereka yang dianggap seperti cucu sendiri dan tidak sesekali menyimpan dendam.
Menceritakan bagaimana permulaan kes buli itu terjadi, Mohd Mudakir yang menghadapi masalah lembam itu menjelaskan dia hanya berniat menegur kumpulan remaja itu yang dilihat melepak di kawasan parkir berkenaan pada petang 7 Mei lalu.
“Namun, saya tidak menyangka kejadian itu tersebar dan terkejut apabila rumah didatangi lima remaja bersama keluarga masing-masing selain kira-kira 1,000 penduduk kampung malam tadi.
“Semua remaja itu hadir bagi memohon maaf dan saya memaafkan perbuatan mereka,” – Mohd Mudakir
Tidak mahu memanjangkan cerita, dia sudah memaafkan remaja terbabit dan berharap ia menjadi pengajaran berguna kepada mereka serta tiada sebarang laporan polis dibuat setakat ini.
Menurut MyMetro, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memberitahu tindakan remaja itu agak keterlaluan terhadap orang dewasa sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati dan marah orang ramai.
Leave a Reply