PU Azman Dituduh Lakukan Amang Seksual 2 Remaja Lelaki

Penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada bulan Februari dan Julai 2022.

Lebih dikenali dengan panggilan Cik Man yang berusia 41 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.

Berdasarkan tiga pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.

Memetik Utusan Malaysia, kesalahan itu dilakukan antara pukul 3 hingga 5 pagi di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai lalu dan tertuduh turut berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 tahun 10 bulan.

Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah bilik di rumah yang sama lebih kurang pukul 8.30 malam hingga 12 tengah malam, 5 Februari lalu dan di ruang tamu rumah sama antara pukul 3 hingga 6 pagi, 6 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga disebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly memohon mahkamah mengenakan jaminan tinggi terhadap tertuduh iaitu RM15,000 bagi setiap pertuduhan kerana kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Peguam yang mewakili tertuduh, Mohamad Zahid Ahmad kemudian memohon jaminan yang rendah atas alasan pendapatan anak guamnya terjejas sejak direman bulan lalu dan memerlukan bantuan keluarga untuk menjaminnya.

“Beliau juga telah hadir hari ini dan menunjukkan kerjasama yang sangat baik.

“Tertuduh berusia 41 tahun adalah seorang bujang dan turut menanggung keluarga di Rantau, Seremban,” kata Mohamad Zahid Ahmad.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dan tertuduh dilarang menghampiri mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai

Selain itu, mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada Sabtu pertama setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Disember depan untuk serahan dokumen.

Sementara iitu, PU Azman ketika ditemui selepas membayar duit jaminan pada pukul 2.40 petang tadi mengucapkan terima kasih dan menghargai doa daripada semua pihak.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*