Seorang peniaga ditemui mati selepas tertembak diri sendiri ketika sedang mencuci senapang patah miliknya di Kampung Perlis, Tikam Batu, Sungai Petani, jam 5.50 petang semalam.
Mangsa yang berusia 59 tahun dipercayai tertembak diri sendiri di bawah dagu sebelah kiri dengan senapang jenis Benelli di beranda rumahnya dan ketika kejadian hanya mangsa dan isterinya berada di rumah terbabit.
“Sebelum kejadian, isteri mangsa mengatakan ternampak suaminya membawa keluar senapang bersama peralatan mencuci senjata itu di bahagian beranda rumah.
“Beberapa minit kemudian, isteri mangsa terdengar bunyi tembakan dan meluru keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku sebelum ternampak mangsa dalam keadaan tersembam di lantai.
“Apabila diperiksa, isteri mangsa mendapati suaminya berada dalam keadaan memeluk senjata di celah kangkang dan ‘barrel’ atau muncung senjata ke arah dagu,” – Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah
Menurut pihak polis, pihak forensik menemui tiga kelongsong peluru iaitu dua di luar senapang manakala satu kelongsong di dalam ‘chamber’ senapang.
Lelaki terbabit disahkan meninggal dunia pada 6.35 petang oleh pegawai perubatan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) yang tiba di lokasi kejadian dan mayat akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut, manakala keluarga mangsa enggan ditemu bual oleh pihak media.
Sumber : Harian Metro
Leave a Reply