“Kami Hanya Mampu Memohon Maaf…” – Penganjur Ekspo Tatoo Dedah Perkara Sebenar

Susulan daripada viral gambar lelaki dan wanita bertatu separuh bogel yang menyertai ekspo bertaraf antarabangsa iaitu Ekspo Tatoo Malaysia 2019 itu, pihak penganjur memohon maaf kepada rakyat Malaysia mengenai kejadian separuh bogel itu.

BACA : “Itu Bukan Budaya Malaysia” – MOTAC Komen Isu Separuh Bogel Ekspo Tatoo Malaysia 2019

Menurut pengasas Blackout Trading, Carlos @ Benny berkata, ia tidak disengajakan dan pihaknya akan bertanggungjawab sepenuhnya mengenai kejadian terbabit.

“Kekurangan ‘due diligence’ (penelitian wajar) ini tidak sepatutnya berlaku. Kami jelas gagal melindungi kepentingan orang ramai.

“Ketika ini, kami hanya mampu memohon maaf dan akan memperbetulkan keadaan selain memperbaiki apa yang perlu diperbaiki,” jelas Benny kepada Harian Metro.

Carlos menjelaskan dia menganjurkan acara antarabangsa itu bertujuan untuk mempromosikan industri pelancongan, terutamanya dalam seni dan budaya kerana tatu adalah bentuk seni yang penting dan diamalkan di seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Kami sememangnya mendapat sokongan dari Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) bagi Ekspo Tattoo Malaysia 2019.

“Namun, kami gagal memberikan pendedahan penuh mengenai aktiviti yang berlangsung dalam acara terbabit.

“Kami menghormati keputusan yang akan dibuat oleh MOTAC dan MyCEB dan sedia menerima akibat daripadanya. Mereka juga tidak seharusnya dipersalahkan akibat kejadian yang berpunca daripada kami,” – Carlos.

Dalam pada itu, Carlos berjanji perkara itu tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang berikutan pihaknya sudah mempelajari daripada kesilapan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*