Siapa tidak kenal dengan saudara Ujang yang pernah melakar kejayaan melalui majalah Ujang sedikit masa dahulu sebelum krisis dengan syarikat MOY Publications Sdn Bhd menyebabkan dirinya keluar daripada majalah popular sekitar tahun 90an itu.
Namun petang tadi, kartunis Ujang memuat naik status di laman Facebook mendakwa dirinya telah diberhentikan kerja oleh penertbit komik Upin & Ipin iaitu NYLA Sdn Bhd yang dimiliki oleh pasangan suami isteri Ahmad Kushairy bin Abdul Ghani dan Tunku Maziah bt Dato’ Tunku Mukhtar.
Menurut Ujang, beliau sebelum ini dilantik sebagai penasihat komik dengan gaji RM2,000 sebulan sahaja walaupun sebelum ini Ujang meminta bayaran sebanyak RM15,000 sebulan semenjak 6 tahun yang lepas.
Pada mulanya Tunku Maziah menghantar wakil hampir setiap hari merayu agar membantu dalam penerbitan komik Upin & Ipin. Mungkin niat untuk membantu, Ujang membuat kerja bermula daripada menyediakan konsep, mukasurat, mengajar untuk memohon permit KDN, termasuklah mengesyorkan pengedar dan bahagian mencetak, menyusun sidang redaksi dan memantau perjalanan majalah (komik Upin & Ipin).
Tetapi selepas enam tahun berlalu, Ujang memberitahu dirinya diberhentikan kerja 24 jam melalui telefon dan cuba untuk merayu, namun tidak diendahkan oleh Tunku Maziah.
Status Ujang di laman Facebook miliknya ;
Onam tahun yang lalu sobuah syarikat yang tidak di kenali dalam dunia penerbitan dan baru di tubuhkan serta tiada pengalaman terbit komik hantar wakil ko ghumah den mintak tolong ajar teghobitkan komik.
Den sebona ey dah bosan dongan dunio penerbitan yang ponoh pengelepetan pada golongan artis.Tapi wakil syarikat tak beghonti datang ghumah dan merayu agar membantu.
Den mintak 15k sobulan untuk buek kojo monyediokan konsep,buek pagination,ajar cagho nak apply permit kdn,rekemenkan pengedar,ajar kontrol printing dan monyusun sidang redaksi serta memantau perjalanan majalah.
Tompi sobab syarikat baru….mereka tak mampu nak bayar dan menawarkan untuk bayar rm2k sobulan dan molantik den sobagai penasihat komik.
Selopeh onam tahun bejalan dongan baik dan mereka dah pandai….minggu lopeh den pun di beghontikan 24 jam melalui talipun maso den on the way ke Tasik Kenyir.
Giliran den pulak merayu ….tapi tak di layan sobab mereka dah tau nak buek sumo bondo tompo bantuan den.
Takpo lah……den ucapkan selamat maju jayo dan kenang daku dalam doa mu. Amin
Benarlah kata Ujang, beliau sudah serik dengan dunia penerbitan kerana kisah silam dirinya dengan MOY Publications yang pernah ‘memakan’ dirinya dan nampaknya berulang kembali apabila giliran NYLA Sdn Bhd membuat perkara yang sama.
Diharap, saudara Ujang mendapat hikmah daripada semua yang berlaku kerana kami percaya peminat majalah Ujang masih bersama anda.
Ramai komen daripada netizen tidak berpuas hati dengan tindakan NYLA Sdn Bhd yang memberhentikan Ujang 24 jam melalui telefon dan ramai yang terus boikot Upin & Ipin gara-gara isu ini.
Untuk pengetahun korang, NYLA Sdn Bhd adalah penerbit bahan-bahan bacaan bercetak yang menggunakan cerita-cerita dan watak-watak dari siri animasi Upin & Ipin dengan izin berlesen dari Les Copaque Productions Sdn Bhd.
Leave a Reply