Rakaman video seorang lelaki selepas melanggar peniaga nasi lemak tular di media sosial yang mengaku dirinya terlalu khayal dan mengaku memandu dalam keadaan mabuk.
Dalam kejadian gerai nasi lemak tempat mangsa berkerja di Taman Bertam Indah jam 9.40 pagi, semalam, itu dirempuh, pasangan suami isteri dikejarkan ke hospital namun Roslinda Mohamad Isa, 44 tahun, meninggal dunia di Hospital Kepala Batas (HKB) manakala suaminya Mat Subri Saad, 44 tahun, yang berada bersamanya turut parah.
Selain itu, rakaman video itu menunjukkan pemandu kereta berusia 31 tahun itu dalam keadaan tertekan kerana dimarah oleh orang ramai dan mengugut untuk membunuh dirinya dalam keadaan berseloroh dan sambil ketawa.
Bukan itu sahaja, menurut orang ramai yang berada di tempat kejadian, lelaki terbabit sempat meneguk air arak yang diambil dari dalam kereta miliknya.
Orang ramai bengang kerana pemandu tersebut beberapa kali cuba menjelaskan bahawa kejadian itu bukan kesalahannya dan menyokong tindakan lelaki itu untuk membunuh dirinya dan ada yang mahu mencampaknya ke kawasan pencawang elektrik yang rosak di situ agar terkena renjatan.
Suami kepada mangsa, Mat Subri menceritakan semasa kejadian, dia dan isterinya menyusun nasi lemak seperti kebiasaan sebelum tiba-tiba dia terdengar bunyi brek kereta.
“Saya terdengar bunyi brek kereta yang kuat dan nampak kereta menghala ke arah kedai. Saya dan isteri tidak sempat menyelamatkan diri sebelum dirempuh dan tercampak ke belakang,” – Mat Subri.
Dia hanya sedar selepas dibawa ke hospital dan tidak mengetahui keadaan isterinya yang sebenarnya sudah meninggal dunia.
Pemandu kereta yang juga lelaki warga tempatan ditahan oleh pihak polis untuk siasatan dan diambil keterangan, memetik Harian Metro.
Menurut polis, hasil ujian air kencing suspek juga positif ganja malah lelaki berkenaan tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan keretanya tamat tempoh.
Leave a Reply