Misteri Nenek Berjalan Di Wad Pukul 2 Pagi Terjawab

Gambar yang memperlihatkan seorang wanita warga emas yang sedang berjalan dalam keadaan terbongkok-bongkok di sebuah wad hospital pada jam 2.30 pagi tular di media sosial Twitter sejak semalam akhirnya terjawab.

Perkongsian tersebut menimbulkan pelbagai persoalan dan ada netizen mendakwa gambar tersebut dirakamkan oleh doktor yang bertugas di wad berkenaan sekitar jam 2.30 pagi dan apabila ditegur nenek tua itu tidak memberi sebarang respon.

Apa yang menghairankan, di wad tersebut tiada pesakit warga emas, menyebabkan ramai membuat andaian termasuk mengaitkannya dengan perkara misteri di hospital yang terletak di Negeri Sembilan itu.

Bagaimanapun ramai juga yang tidak setuju dengan tindakan memuat naik gambar wanita itu kerana ia jelas menunjukkan seorang wanita warga emas dan bukannya ‘hantu’ seperti didakwa.

Menurut salah seorang pengguna Twitter, dia memberitahu bahawa pesakit berusia 70 tahun itu memang wujud dan sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.

Disebabkan penularan gambar terbabit, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan tampil memberi penjelasan dan mengesahkan kelibat wanita itu bukanlah ‘hantu’ sebaliknya memang pesakit di sebuah hospital di negeri itu.

“Dimaklumkan warga emas tersebut adalah merupakan pesakit di salah sebuah hospital kami.

“Sehubungan dengan itu, bagi menjaga privasi pesakit dan waris serta mengelak salah tanggapan oleh netizen, mohon jasa baik pihak tuan untuk memadam posting ini,” tulis jabatan itu di Facebook.

Jabatan itu juga turut meminta orang ramai memadam posting gambar nenek tua yang berjalan di wad itu bagi menjaga privasi pesakit dan ahli keluarganya.

Sumber : mStar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*