Seorang wanita yang merupakan tuan kepada seekor lembu betina terkejut apabila lembunya itu ketagih makan nasi bersama garam.
Apa yang menghairkan lagi, lembu tersebut lebih berselera menikmati nasi bersama garam berbanding makan rumput.
Menurut pemilik lembu itu, Ain Zahirah Zokri, 24 tahun memberitahu lembu berusia dua tahun itu merupakan lembu pertama yang dibeli pada Februari lalu dengan harga RM1,600.
Wanita yang berasal dari Kampung Lala, Pokok Sena itu mula perasan selepas beberapa kali melihat haiwan peliharaannya itu menghalau ayam dan makan kesemua nasi.
“Selalunya nasi itu adalah lebihan yang saya masak pada waktu tengah hari. Lembu ini akan merajuk kalau saya tidak memberikannya nasi,” – Ain Zahirah.
Ain Zahirah menjelaskan dia membela lembu tersebut untuk mengikut jejak neneknya Rahmah Ismail, 74 tahun, yang memelihara enam ekor lembu.
Walaupun sarat mengandung, Ain sanggup mengutip ranting kayu pada waktu malam untuk dijadikan unggun api bagi menghalau agas dari menggigit lembu peliharaannya.
Manakala neneknya, Rahmah berkata selera pelik haiwan itu sangat berbeza dengan lembu-lembu peliharaannya sebelum ini.
“Sudah lama saya membela lembu tapi tiada yang suka makan nasi. Alhamdulillah, walaupun makan nasi depa membesar dengan baik dan sihat,” – Rahmah.
Rahmah berasa lega walaupun hanya makan nasi dengan garam, lembu tersebut membesar dengan baik dan sihat.
Sumber : Sinar Harian
Leave a Reply