Berita baik kepada yang mahukan kereta mewah tapi berharga sangat murah kerana Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka akan mengadakan lelongan umum di JPJ Bukit Katil di sini pada 15 Ogos ini.
Sebuah Mini Cooper keluaran 2005 sebagai kenderaan yang tidak boleh daftar (scrap) antara 87 kenderaan disita yang akan dilelong pada harga bidaan bermula RM4,500.
Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff, berkata proses lelongan 84 kereta, dua van dan sebuah lori itu akan bermula jam 9.30 pagi.
“Semua kenderaan yang akan dilelong ini disita sejak 2014, sama ada ketika operasi JPJ, pemilik menyerah diri atau ditahan ketika di jalan raya.
“Bagaimanapun daripada 87 kenderaan yang akan dilelong termasuk 79 kenderaan klon, enam dikategorikan sebagai tidak boleh daftar termasuk Mini Cooper berkenaan,” – Muhammad Firdaus Shariff
Menurut Muhammad Firdaus, kenderaan lain dalam senarai untuk lelongan adalah BMW, Subaru Impreza, Honda Stream, Honda Jazz, Honda Accord dan Toyota Wish.
Manakala harga rizab paling rendah bagi kenderaan yang boleh daftar adalah Proton Saga keluaran 1998 pada harga RM450, manakala paling tinggi adalah Honda Accord keluaran 2005 berharga RM19,500.
Sumber : Berita Harian
Leave a Reply