Gara-gara tidak diberikan kunci kereta ayah mereka oleh kakaknya, seorang remaja naik hantu dan bertindak membakar kereta dan rumah mereka di Kampung Stenggang, Bau, Sarawak, 10 Ogos lalu.
BACA : Vape Meletup Dalam Poket, Paha Lelaki Ini Melecur Teruk
Sebelum kejadian, remaja lelaki berusia 19 tahun bergaduh dengan kakaknya berusia 22 tahun dan mengugut mahu membakar serta mengebom kereta milik ayahnya.
Menurut sumber, suspek kemudiannya keluar rumah sebelum datang semula membawa botol berisi petrol.
“Suspek menyimbah petrol pada kereta Perodua Viva milik ayah mereka termasuk pagar dan dinding rumah sebelum membakarnya menggunakan pemetik api.
“Dua lelaki iaitu abang suspek dan adik ipar kakaknya yang cuba menghalang tindakan itu turut disimbah petrol. Akibatnya, kedua-duanya melecur disambar api yang sedang marak pada kereta,” – kata sumber kepada Harian Metro.
Abang suspek berusia 26 tahun melecur di kepala, perut, kaki dan tangan terpaksa dibawa ke Hospital Bau untuk rawatan lanjut.
Manakala adik ipar kakanya turut melecur pada kaki kiri dan turut dihantar ke hospital sama.
Kebakaran yang berlaku itu berjaya dipadamkan oleh jiran menggunakan air paip sebelum kehadiran bomba.
Suspek melarikan diri menggunakan motosikal selepas melihat ramai penduduk kampung membantu dan kes disiasat mengikut Seksyen 327/506 Kanun Keseksaan termasuk Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1958.
Leave a Reply