Gara-gara membelanjakan sekeping wang kertas RM100 palsu di pasar malam, dua beradik telah dihadapkan ke mahkamah sesyen Kuala Terengganu Ahad lalu atas tuduhan menggunakan wang palsu tersebut pada Jun lalu.
Fatimah Awang @ Ismail, 41 tahun, bersama adiknya, Hanif Awang @ Ismail, 26 tahun dituduh di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Mengikut pertuduhan, dua beradik itu didakwa bersama-sama menggunakan sekeping wang kertas RM100 dengan mengetahui bahawa wang kertas itu adalah palsu di tapak pasar malam Kemasik, Kemaman, jam 3.30 petang pada 9 Jun lalu.
Jika sabit kesalahan, mereka bakal menerima hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Mahkamah menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes kerana kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan Hanif diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, manakala kakaknya pula diarahkan menjalani ujian psikiatri di Hospital Permai Johor Bahru, Johor bagi melihat tertuduh waras untuk dibicarakan.
Terdahulu, dua beradik ini diserbu pihak polis dan merampas sepasang baju kebaya yang dipakai Fatimah ketika berurusan di beberapa premis di Kemaman selain sebuah mesin pencetak wang serta bahan-bahan pembuatan wang palsu.
Sumber : Sinar Harian
Leave a Reply