Video yang tular mengenai seorang anak kecil meninggikan suaranya dengan ayat ‘Ini Semua Salah Ayah!” semasa bersalaman dengan bapanya pada Hari Raya mengejutkan netizen sehingga menimbulkan pelbagai reaksi.
Ada netizen yang mengaitkan dengan adegan filem ‘Anakku Sazali’ lakonan Tan Sri P. Ramlee dan ada yang mengecam tindakan anak kecil itu suatu yang tidak patut dilakukan walaupun masih kecil.
Menurut Muhamad Firdaus Abd Rahman, menjelaskan video yang baru tular itu sebenarnya dirakamkan pada Hari Raya pertama dua tahun lalu dan budak kecil tersebut adalah adik lelakinya Mohamad Faris yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik, ketika itu baru berusia empat tahun.
“Sebenarnya, adik menangis bila tengok kami adik-beradik menangis semasa bersalam minta maaf dengan mak dan ayah di rumah keluarga kami. Bila tiba giliran dia untuk bersalam, dia masih menangis.
“Mula-mula ayah tanya kenapa menangis, dia tak jawab dan terus menangis. Bila ayah tanya lagi kenapa, terus dia cakap semua salah ayah sebab ayah buatkan dia menangis tengok kami adik-beradik menangis,” – Muhamad Firdaus.
Muhamad Firdaus mendedahkan adiknya yang lebih mesra dengan panggilan Aish dalam kalangan keluarga sebenarnya seorang yang mudah sensitif dan kuat ‘drama’.
Ditanya mengenai ayah dan ibunya mengenai video yang tular itu, Firdaus memberitahu mereka hanya ketawa sahaja kerana tahu apa yang sebenarnya berlaku di sebalik video tu, memetik mStar.
Leave a Reply