Akuan Bersumpah Azilah Bersabit Kes Altantuya Didengar April Depan

Semalam viral akuan bersumpah daripada bekas anggota Unit Tindakhas (UTK), Azilah Hadri bersabit kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu dan pendedahan itu menjurus kepada penglibatan Najib Razak.

Memetik Harian Metro, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menetapkan 20 April depan untuk mendengar permohonan Azilah Hadri bagi menyemak semula keputusan yang mensabitkannya atas kesalahan membunuh wanita yang didakwa sebagai perisik Rusia itu.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam J Kuldeep Kumar selepas pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Norkamilah Aziz, hari ini.

“Kami memfailkan permohonan ini mengikut Aturan 137 Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

“Selain mengetepikan sabitan dan hukuman, kami juga memohon supaya perbicaraan kes berprofil tinggi ini dibuat semula,” – J Kuldeep Kumar.

Bagaimanapun apabila ditanya lebih lanjut berhubung akuan bersumpah yang dibuat oleh Azilah, Kuldeep enggan mengulas lanjut dan beredar pergi dengan segera.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun ketika ditemui mengesahkan permohonan dan akuan bersumpah itu, namun dia tidak menerima sebarang arahan untuk mendedahkan perkara ini lebih lanjut.

Sebelum ini, akuan bersumpah Azilah yang mendakwa dia bersama bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan ‘shoot to kill’ (tembak mati) sebagai anggota pasukan UTK tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*