Zarith Sofia Tidak Mengaku Simpan Beruang, Hukuman Denda RM200,000 Atau Penjara 10 Tahun Menanti

Susulan isu penyanyi rock Zarith Sofia Yasin yang dituduh menyimpan dan mengurung anak beruang matahari di rumahnya minggu lalu telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun bekas peserta rancangan ‘Rockanova’ itu mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Manira Mohd Nor, memetik Harian Metro.

BACA : “Saya Sangka Anjing, Rupanya Beruang” – Zarith Sofia Dedah Punca Bela Beruang

Mengikut pertuduhan pertama, penyanyi itu didakwa menyimpan seekor beruang matahari (Helarctos Malayanus) tidak matang iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa permit khas.

Bagi pertuduhan itu, Zarith Sofia didakwa mengikut Seksyen 69(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 69(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengurung anak beruang matahari itu di dalam premis yang tidak sesuai atau kondusif bagi keselesaan atau kesihatan hidupan liar berkenaan.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 86(1)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 86(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Munirah Zainol Abidin manakala Zarith Sofia diwakili peguam Datuk Mohd Haziq Pillay Abdullah.

Gambar beruang matahari yang berada di kediaman Zarith Sofia Yasin.

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya tidak menawarkan jaminan bagi kedua-dua pertuduhan itu atas alasan jenayah membabitkan hidupan liar adalah perbuatan jenayah serius yang membabitkan kepentingan awam.

“Dikhuatiri jika tertuduh dilepaskan dengan jaminan, dia akan mengganggu saksi yang terbabit dalam perbicaraan.

“Namun jika mahkamah ingin memberikan jaminan, pihak pendakwaan memohon satu jaminan tinggi iaitu RM30,000 iaitu 10 peratus daripada nilai denda maksimum bagi kedua-dua pertuduhan,” – Timbalan Pendakwa Raya.

Memandangkan Zarith menyara keluarga dengan pendapatan RM3,500 sebulan dan ayahnya juga baru saja menjalani pembedahan tumor, peguamnya memohon satu jaminan berdasarkan alasan tersebut.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu dia perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 haribulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*