“Saya tidak tahu prosedur yang betul untuk mohon (pasport migrasi pelaburan). Kemudian saya berjumpa seorang lelaki bernama Liw Ge di Thailand pada sekitar Jun dan Julai 2018, melalui seorang rakan.
“Liw Ge tahu niat saya dan dia beritahu ada satu saluran untuk dapatkan pasport Malaysia yang sah, tetapi perlu bagi sedikit wang,”
Itulah penjelasan daripada saksi utama kes sindiket penjualan MyKad kepada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini dalam Bahasa Mandarin yang mendakwa dia membayar hampir setengah juta bagi pembelian pasport dan MyKad.
Wang De Qun, 58 tahun, atau dikenali sebagai Ewe Chor Beng di dalam kad pengenalan Malaysia memberitahu pada asalnya dia hanya mahu memiliki pasport migrasi pelaburan bagi memudahkan urusan perniagaannya di negara ini.
Bagaimanapun, De Qun yang berasal dari Shan Dong, China dan turut memiliki pasport negara Vanuatu bersetuju untuk membayar RM200,000 bagi memiliki pasport Malaysia kepada Liw Ge, dan RM200,000 lagi kepada tertuduh, Datuk Lai Chin Wah.
“Saya dimaklumkan Chin Wah, kalau mahu buat pasport perlu ada kad (MyKad) ini dahulu. Saya tidak faham kegunaan kad ini, tetapi kerana ada gambar saya, saya terima penjelasan Chin Wah.
“Pada Mac lalu, Chin Wah menemani saya membuat pasport di sebuah jabatan kerajaan (dikenal pasti sebagai Jabatan Imigresen Pulau Pinang),” – jelas De Qun.
De Qun menjelaskan kepada mahkamah bahawa Chin Wah turut membantunya memiliki lesen memandu yang diuruskan sepenuhnya oleh tertuduh.
Sumber : Harian Metro
Leave a Reply