Selepas isu gula-gula berasap atau lebih dikenali sebagai ‘Ghost Smoke’ tular tempoh hari, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak giat menjalankan operasi pembanterasan habis-habisan.
Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Sarawak Mohd Hanizam Kechek, mereka setakat ini berjaya merampas sebanyak 1,128 peket gula-gula ‘Ghost Smoke’ dalam operasi sejak Selasa lalu dan sehingga semalam sebanyak 60 premis telah diperiksa.
“Pihak KPDNHEP seluruh Sarawak telah bertindak membuat pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan berkaitan dengan penjualan gula-gula berasap sebagaimana yang ditular dalam video mengenai kanak-kanak menghisap gula-gula dan mengeluarkan asap seperti sedang menghisp rokok atau vape.
“Gejala ini telah menimbulkan kebimbangan kerana dikhuatiri boleh mendorong kanak-kanak terdedah kepada tabiat merokok di awal usia muda dan juga dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan,” – jelas Mohd Hanizam Kechek kepada Berita Harian.
Hanizam memberitahu lagi, pihaknya berjaya merampas 14 kotak gula-gula berkenaan dari sebuah premis di Jalan Datuk Tawi Sli, Kuching awal petang tadi dengan nilai rampasan sekitar RM110.
Rampasan dibuat untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 atau di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 di bawah akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, jika seseorang mewakili sebuah pertubuhan boleh didenda tidak melebihi RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan kedua.
Leave a Reply